X
Khamis, 22 Jun 2017 | 9:55am

APMM rampas bot pam bawa bahan bom ikan

ANGGOTA APMM memeriksa bot pam membawa bahan membuat bom ikan di perairan berhampiran Pulau Sapi, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan APMM
ANGGOTA APMM memeriksa bot pam membawa bahan membuat bom ikan di perairan berhampiran Pulau Sapi, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan APMM

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan berhampiran Pulau Sapi, dekat sini, malam tadi.

Ia susulan rampasan sebuah bot pam dikendalikan seorang lelaki oleh sepasukan anggota APMM Daerah Maritim Kota Kinabalu (DM15) ketika menjalankan rondaan menggunakan sebuah bot ronda di perairan terbabit, kira-kira jam 9.15 malam.

Ketika rondaan menerusi Operasi Sejahtera itu, anggota APMM telah mengesan sebuah bot pam dalam keadaan bergelap serta mencurigakan.

Ketika cuba dihampiri, bot pam terbabit tiba-tiba memecut laju bagi mengelak daripada pemeriksaan sebelum menuju ke kawasan cetek di perairan Pulau Sapi dan pengendalinya terjun serta melarikan diri.

Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit menemui barangan untuk membuat bahan letupan, selain peralatan menyelam bagi menangkap ikan.

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz, berkata bot pam itu dirampas mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan kaedah bom ikan.

"APMM memandang serius kegiatan menangkap ikan menggunakan kaedah bom dan operasi secara berterusan dilakukan bagi membendung kegiatan ini," katanya di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X