Isnin, 23 Januari 2017 | 3:40pm

Cubaan sembunyi dadah dalam lumpur gagal

SANDAKAN: Cubaan seorang lelaki menyembunyikan dadah dengan menanamnya dalam lumpur gagal apabila ditahan polis di Kampung Mangkalinau, dekat sini, petang semalam.

Suspek berusia 31 tahun yang juga warga asing itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 5.30 petang oleh sepasukan anggota polis yang membuat intipan di kawasan setinggan itu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata suspek cuba melarikan diri sebaik dihampiri polis, namun berjaya ditahan semula di bawah sebuah rumah.

Katanya, turut ditemui satu plastik hitam berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis Methamphetamine yang ditanam dalam kawasan lumpur di bawah rumah berkenaan.

"Suspek kini direman untuk siasatan lanjut, manakala anggaran berat kasar dadah yang dirampas ialah kira-kira 105 gram," katanya di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X