Khamis, 8 Disember 2016 | 1:44pm
BUAYA yang sesat di tasik Tanah Perkuburan Semariang berjaya ditangkap pagi tadi. - Foto ihsan pembaca
BUAYA yang sesat di tasik Tanah Perkuburan Semariang berjaya ditangkap pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

'Bujang Kubur Semariang' ditangkap

PETRA JAYA: Kebimbangan orang ramai dengan kehadiran seekor buaya di tasik Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini, sejak beberapa hari lalu berakhir apabila reptilia itu berjaya ditangkap, pagi ini.

Timbalan Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC), Oswald Braken Tisen, yang mengesahkan perkara itu berkata, buaya berkenaan sudah dihantar ke Pusat Perlindungan Hidupan Liar Matang.

Beliau berkata, kehadiran buaya sepanjang kira-kira 2.5 meter itu disedari penduduk yang tinggal berdekatan tanah perkuburan berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Berikutan itu, usaha dilakukan untuk mengesan dan menangkap buaya yang ada menggelarnya sebagai `Bujang Kubur Semariang' kerana dikhuatiri membahayakan orang ramai terutamanya kanak-kanak yang sering bermain di tasik berkenaan.

"Buaya berkenaan perlu dipindahkan ke tempat lain kerana dikhuatiri mengancam keselamatan orang ramai yang berkunjung ke tasik berkenaan," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut bagaimana reptilia itu boleh berada di tasik berkenaan dan memaklumkan Bahagian Komunikasi Korporat SFC akan mengeluarkan kenyataan media mengenainya.

Berita Harian X