Rabu, 7 Disember 2016 | 11:37am

Lelaki hilang bot dinaiki terbalik

BOT pancing dinaiki mangsa yang dipercayai terbalik sebelum karam di perairan Semarang, Labuan. - Foto ihsan APMM
BOT pancing dinaiki mangsa yang dipercayai terbalik sebelum karam di perairan Semarang, Labuan. - Foto ihsan APMM

LABUAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya ketika keluar memancing di perairan Semarang di sini, terbalik, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu susulan aduan daripada pemilik bot terbabit.

"Pengadu memaklumkan kepada kami, seorang kru bot pancing miliknya yang dikenali sebagai Mohd Helmi Otong hilang ketika memancing di laut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zubil berkata, bot dinaiki mangsa yang dipercayai terbalik ditemui kira-kira jam 4.30 petang di kawasan perairan Semarang di sini, semalam.

"Bagaimanapun, mangsa yang dipercayai berpakaian gelap masih belum ditemui dan saya mengarahkan supaya operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada jam 1 pagi tadi.

"SAR ini membabitkan aset Kapal Maritim (KM) Bistari dan KD Ganas milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selain itu permohonan untuk tambahan aset pasukan SAR daripada agensi atau jabatan maritim yang lain juga telah dibuat," katanya.

Mohd Zubil berkata, bot pancing yang karam itu dibawa ke perairan berhampiran pasar SAFMA di Kota Kinabalu menggunakan sebuah bot lain milik pengadu.

Berita Harian X