Ahad, 24 April 2016 | 5:37pm

Mangsa kebakaran Kampung Tombovo terima bantuan rumah PPR

KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa. - Foto Edmund Samunting
KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa. - Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Satu keluarga mangsa kebakaran Kampung Tombovo, Putatan dekat sini, hari ini menerima bantuan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Kunci rumah berkenaan disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, kepada ketua keluarga itu Francis Djin, 42, dalam satu majlis di sini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Mohammad Mantek.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci berkenaan, Ali berkata kerajaan melalui KPKT berbesar hati untuk memberi bantuan rumah PPR untuk tempat penginapan sementara mangsa.

"Hari ini kita menyerahkan kunci rumah PPR Bukit Padang, Penampang kepada mangsa dan mereka boleh berpindah ke rumah berkenaan serta-merta kerana kelengkapan seperti air dan elektirk sudah dipasang.

"Saya difahamkan Pejabat Daerah Penampang juga mengambil inisiatif untuk membantu mangsa mendapatkan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang akan dibina di kawasan kampung ini dan sementara menunggu rumah berkenaan siap, mangsa boleh tinggal di PPR Bukit Padang," katanya.

Rumah yang dihuni Francis bersama isteri dan empat orang anaknya musnah dalam kebakaran pada jam 1.30 pagi 22 Mac lepas.

Selepas kejadian itu, guru salah seorang daripada anak mangsa yang bersekolah di tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tansau, Penampang mengambil inisiatif secara sukarela untuk membantu mangsa dengan meminta bantuan daripada masyarakat melalui laman sosial Facebook.

Inisiatif guru berkenaan yang dikenali sebagai Nowenna Willie mendapat perhatian ramai pengguna Facebook dengan memviralkan perkongsian guru berkenaan.

Sementara itu, Francis berterima kasih kepada semua pihak, khususnya kerajaan yang berbesar hati untuk membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

"Kami bersyukur dan akan manfaatkan sepenuhnya rumah PPR berkenaan," katanya yang menetap di Balai Raya Kampung Tombovo sejak kebakaran itu. - BERNAMA

Berita Harian X