Khamis, 24 March 2016 | 2:39pm

1,500 laporan kebakaran terbuka di Sabah

PENGARAH Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Nordin Pauzi (kiri) melawat pameran kebombaan sambil diiringi oleh pengetua SMK Abdul Rahim, Awang Jaya Awang Damit (dua dari kiri) pada perasmian Hari Pencegahan Kebakaran dan Keselamatan Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahim, Kudat. - Foto Dewiana Tinggolongan

KUDAT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima lebih 1,500 kes kebakaran terbuka di seluruh negeri sejak Januari lalu.

Ia meningkat tiga peratus berbanding kira-kira 1,200 laporan bagi tempoh Januari hingga Mac tahun lalu.

Pengarah JBPM Sabah, Nordin Pauzi, berkata kes kebakaran membabitkan kebun, ladang dan kawasan semak serta pertanian itu bertambah disebabkan taburan hujan sangat sedikit, selain sikap segelintir masyarakat membuat pembakaran terbuka.

Katanya, keadaan tanah kering kerana cuaca panas berpanjangan menyebabkan aktiviti pembakaran merebak dengan cepat membabitkan kawasan yang luas sehingga tidak dapat dikawal.

"Kebakaran yang biasa dilihat di tepi jalan disebabkan segelintir orang awam membuang puntung rokok merata-rata hingga kebakaran itu sebelum merebak ke kawasan lebih luas.

"Selain itu, pembakaran untuk tujuan pembersihan ladang juga wajar dielakkan. Mungkin membersihkan ladang dengan membakar adalah cara paling mudah, tetapi ia tidak sesuai dengan keadaan cuaca sekarang," katanya kepada BH selepas merasmikan Hari Pencegahan Kebakaran dan Keselamatan Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahim, di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X