Ahad, 20 Disember 2015 | 12:23pm

Gelanggang futsal di Kompleks Sukan Keningau

KHAIRY diperkenalkan kepada peserta dari Wilayah Persekutuan Labuan sempena perasmian kejohanan Mr Borneo 2015 anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Keningau dengan kerjasama Persatuan Bina Badan Negeri Sabah, malam tadi. - Foto BERNAMA
KHAIRY diperkenalkan kepada peserta dari Wilayah Persekutuan Labuan sempena perasmian kejohanan Mr Borneo 2015 anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Keningau dengan kerjasama Persatuan Bina Badan Negeri Sabah, malam tadi. - Foto BERNAMA

KENINGAU: Sebuah gelanggang futsal berbumbung akan dibina di Kompleks Sukan Keningau dekat sini, bagi menambah kemudahan sedia ada untuk menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat melalui bersukan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata kelulusan bagi membina gelanggang futsal itu susulan permintaan Pemuda UMNO yang mahu kemudahan itu dibina di daerah berkenaan.

"Ini juga sejajar usaha kementerian mempromosikan program gaya hidup sihat di kalangan rakyat di semua peringkat di negara ini bagi menggalakkan rakyat bersukan.

"Dalam pada itu, pendekatan mengadakan Program Fit Malaysia juga bukan sekadar untuk melahirkan jaguh sukan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan, namun ada kesan kepada seluruh rakyat agar menjadi lebih sihat dengan bersukan," katanya ketika merasmikan Kejohanan Mr Borneo di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Ketua Pemuda UMNO Keningau, Nik Mohd Nazri Nik Zawawi.

Beliau berkata, program yang boleh membawa kepada menyemarakkan gaya hidup sihat amat penting sebagai amalan untuk mencegah masalah kesihatan.

Mengenai Kejohanan Mr Borneo, beliau menggalakkan aktiviti seperti itu agar anak-anak muda menjadi lebih cergas dan sihat sekali gus mampu mencegah penyakit kronik di kalangan rakyat negara ini.

Berita Harian X