Selasa, 9 Mei 2017 | 3:24pm

Pengerang perlu lebih banyak premis mampu milik

PROJEK Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID). - Foto PETRONAS
PROJEK Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID). - Foto PETRONAS

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan diminta membina lebih banyak premis perniagaan mampu milik di Pengerang, Kota Tinggi bagi memberi peluang peniaga kecil meraih manfaat daripada pembangunan mega di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Syed Sis Abd Rahman, berkata premis perniagaan sedia ada mengenakan sewa antara RM6,000 hingga RM7,000 sebulan.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan masyarakat setempat khususnya golongan peniaga kecil meraih manfaat daripada pelaksanaan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) yang kini sudah mencapai kemajuan 60 peratus.

"Johor Petroleum Development Corporation Bhd (JPDC) dan PETRONAS mengadakan pertemuan dengan peniaga dan usahawan setempat supaya menghadapi zaman pasca pembangunan di Pengerang pada Mac lalu. Ini bagi peluang perniagaan yang meliputi kontraktor dan pembekalan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan di Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-13 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Syed Sis berkata, pelaburan syarikat petroleum Arab Saudi, ARAMCO dalam projek kilang penapis minyak milik PETRONAS di RAPID juga meletakkan Pengerang di mata dunia yang menjadi lokasi pelaburan yang strategik.

Katanya, pelaburan itu penting menambah peluang pekerjaan terutama kepada masyarakat setempat dan meningkatkan keyakinan terhadap ekonomi negara.

Sementara itu, Syed Sis turut menggesa pihak berkenaan menyelenggara jalan raya ke Pengerang memandangkan laluan utama menuju ke kawasan itu tidak elok dan boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna.

Antara lokasi terbabit ialah Lebuhraya Senai-Desaru iaitu jalan daripada jambatan sehingga ke simpang empat Bandar Penawar, katanya.

Berita Harian X