Sabtu, 29 April 2017 | 3:33pm
ANTARA basikal yang diubahsuai secara berbahaya yang dirampas. - Foto Ihsan PDRM
ANTARA basikal yang diubahsuai secara berbahaya yang dirampas. - Foto Ihsan PDRM

13 penunggang basikal lajak ditahan

ANTARA basikal yang diubahsuai secara berbahaya yang dirampas. - Foto Ihsan PDRM
ANTARA basikal yang diubahsuai secara berbahaya yang dirampas. - Foto Ihsan PDRM

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan 13 remaja berusia antara 11 hingga 15 tahun terbabit dengan aktiviti menunggang basikal yang diubahsuai secara berbahaya di Jalan Denai dekat Taman Jaya di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Superintendan M Kumar, berkata dalam kejadian jam 4.30 petang itu polis turut merampas 15 basikal yang dipercayai digunakan kumpulan remaja terbabit bagi menjalankan kegiatan itu.

Katanya, sepasukan anggota daripada Balai Polis Pelangi Indah pergi ke Jalan Denai di Taman Bukit Jaya selepas menerima maklumat daripada orang awam wujud aktiviti basikal lajak di situ.

"Setibanya di jalan berkenaan, anggota bertugas mengesan aktiviti sekumpulan penunggang basikal yang diubahsuai itu dan menahan 13 remaja selain merampas 15 basikal, semuanya dibawa ke Balai Polis Pelangi Indah untuk siasatan lanjut.

"Pihak trafik JBS kemudian mengambil tindakan mengeluarkan 13 saman Pol 257 atas kesalahan mengikut Peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 kerana ubahsuai tiada brek dan loceng," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kumar berkata, bagi kesalahan itu mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan, jika sabit kesalahan.

"Tangkapan dan sitaan basikal dibuat mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959.

"Selepas rakaman percakapan diambil semalam, semua remaja berkenaan dibebaskan dan diserahkan semula kepada ibu bapa dan ahli keluarga masing-masing," katanya.

Katanya, semua butir ibu bapa remaja ditahan itu turut direkodkan dan diberi penerangan perihal penahanan serta tindakan yang diambil oleh pihak polis.

Berita Harian X