Khamis, 27 April 2017 | 6:59pm

e-pembelajaran bantu pembelajaran secara digital

MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beramah mesra dengan pelajar pada majlis pelancaran Program E-Learning anjuran Yayasan Pelajaran Johor di Dewan Sultan Iskandar, Maktab Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, hari ini. - Foto Zain Ahmed
MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beramah mesra dengan pelajar pada majlis pelancaran Program E-Learning anjuran Yayasan Pelajaran Johor di Dewan Sultan Iskandar, Maktab Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, hari ini. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri yakin Program Tuisyen e-pembelajaran yang dilaksanakan menerusi aplikasi Classruum.com mampu menjadi suntikan baharu bagi membantu proses pembelajaran secara digital.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata program itu dilaksanakan oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Jabatan Pendidikan Johor dan Kulim (Malaysia) Berhad, anak syarikat Johor Corporation (JCorp).

Katanya, bagi menjayakan program itu, YPJ menyediakan peruntukan RM200,000, manakala Yayasan Pasir Gudang (YPG) dan Yayasan Penyayang Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (YMPJBT) masing-masing sebanyak RM100,000.

"Dengan jumlah keseluruhan peruntukan bernilai RM400,000, maka program e-pembelajaran ini sekurang-kurangnya dapat memberi manfaat kepada hampir 5,600 calon yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

"Program ini akan bermula bulan depan sehingga Oktober ini dengan sebahagian daripada kos langganan pakej pembelajaran itu ditanggung oleh pihak berkenaan, manakala 50 peratus lagi oleh ibu bapa dengan bayaran sebanyak RM11.60 sahaja.

"Ia terbuka kepada semua kaum dan terdapat beberapa pakej pembelajaran yang ditawarkan menerusi program berkenaan, malah pelajar juga boleh mendapatkan keterangan lanjut mengenainya menerusi Classruum.com," katanya. 

Mohamed Khaled berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program E-Learning anjuran Yayasan Pelajaran Johor di Dewan Sultan Iskandar, Maktab Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.

Katanya, bagi perancangan akan datang, pihaknya bercadang untuk memulakan program berkenaan pada Januari bagi memudahkan calon SPM membuat persediaan lebih awal.

Berita Harian X