Khamis, 2 March 2017 | 2:53pm

UTM agih baucer bantuan makanan pelajar

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni) UTM, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abdul Aziz (enam dari kanan) menyampaikan kupon makan percuma kepada pelajar selepas melancarkan program FS2S (From Staff To Students) di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UTM, Skudai. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni) UTM, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abdul Aziz (enam dari kanan) menyampaikan kupon makan percuma kepada pelajar selepas melancarkan program FS2S (From Staff To Students) di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UTM, Skudai. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Fakulti Kejuruteraan Mekanikal mengumpul RM9,000 bagi Tabung From Staff to Student (FS2S) bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni) UTM, Prof Dr Mohd Ismail Abdul Aziz, untuk peringkat pertama, sebahagian daripada kutipan itu diagihkan kepada 20 pelajar fakulti itu yang layak menerima baucer makanan selepas melalui proses saringan tertentu.

Katanya, inisiatif julung kali dianjurkan fakulti itu bagi meringankan beban pelajar kurang berkemampuan yang mana pelajar yang layak akan menerima baucar makanan bernilai RM5 sehari untuk satu semester.

Katanya, menerusi program FS2S itu, ia secara tidak langsung mewujudkan rasa bertanggungjawab dalam kalangan kakitangan kampus untuk memberikan sumbangan kepada pelajar yang memerlukan.

"Selaras dengan keprihatinan membabitkan seramai 70 kakitangan akademik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, satu inisiatif diambil bagi membantu pelajar terutama golongan 40 peratus berpendapatan terendah (B40).

"Seramai 20 pelajar menerima bantuan berjumlah RM375 untuk satu semester, selain pihak fakulti masih menerima permohonan baharu bagi yang layak untuk disalurkan bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan penyerahan baucar makanan di bilik mesyuarat, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM, Prof Dr Noordin Mohd Yusof.

Mohd Ismail berkata, pihaknya mengenal pasti kira-kira 58 peratus pelajar UTM adalah dalam kalangan B40, manakala 15 peratus merupakan kategori miskin tegar.

Katanya, program seumpama ini perlu diadakan pada masa akan datang bagi memberi ruang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian, sekali gus keluar dari jurang kemiskinan.

Sementara itu, pelajar, Wan Muhammad Nabil Adham Wan Rus Selam, 21, bantuan baucar RM5 sehari itu akan dimanfaat sepenuhnya bagi meringankan beban tanggungan bapanya yang bekerja sebagai buruh.

Berita Harian X