Jumaat, 4 November 2016 | 6:26pm

KPDNKK Johor terima 27 aduan berkaitan minyak masak

NOR Nekman Jaimon melakukan pemeriksaan dan pemantauan di sebuah pasar raya di sekitar Skudai, Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
NOR Nekman Jaimon melakukan pemeriksaan dan pemantauan di sebuah pasar raya di sekitar Skudai, Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor menerima 27 aduan berkaitan minyak masak sejak 21 Oktober lalu hingga semalam.

Pengarah, Nor Nekman Jaimon, berkata antara kategori aduan yang diterima adalah berkaitan tiada bekalan selain penjual meletakkan harga yang mahal berbanding yang ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 16 aduan sudah diselesaikan, manakala tujuh lagi dalam siasatan bersabit tiga aduan di Johor Bahru, satu di Muar dan tiga lagi di Kluang.

"Johor Bahru mencatatkan bilangan aduan tertinggi iaitu 11 diikuti Muar (dua), Batu Pahat (empat) dan masing-masing lima aduan di Segamat dan Kluang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 27 aduan sepanjang 21 Oktober hingga semalam.

"Hasil pemeriksaan sehingga semalam juga menyaksikan lima kes dihasilkan di Johor dan antara kesalahan dilakukan termasuk menyorok barang kawalan mengikut Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan menjual lebih daripada harga ditetapkan mengikut Peraturan 12(A) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan di sebuah pasar raya dan kilang pembungkusan minyak masak sekitar Skudai di sini, hari ini.

Nor Nekman berkata, seramai 316 Pegawai Pemantau Harga KPDNKK dan anggota penguat kuasa secara berterusan memantau serta melakukan pemeriksaan ke premis yang menjual minyak masak.

Berita Harian X