Isnin, 3 Oktober 2016 | 1:13pm
Peserta bersama hadiah yang dimenangi ketika program Kulim Kota Tinggi MTB Challenge 3.0 yang diadakan di Kulim Eco Trail Retreat, Ladang Basir Ismail, Kota Tinggi. - Foto Nurul Amanina Suhaini
Peserta bersama hadiah yang dimenangi ketika program Kulim Kota Tinggi MTB Challenge 3.0 yang diadakan di Kulim Eco Trail Retreat, Ladang Basir Ismail, Kota Tinggi. - Foto Nurul Amanina Suhaini

JCorp Kulim anjur Kayuhan Basikal Lasak

Peserta bersama hadiah yang dimenangi ketika program Kulim Kota Tinggi MTB Challenge 3.0 yang diadakan di Kulim Eco Trail Retreat, Ladang Basir Ismail, Kota Tinggi. - Foto Nurul Amanina Suhaini
Peserta bersama hadiah yang dimenangi ketika program Kulim Kota Tinggi MTB Challenge 3.0 yang diadakan di Kulim Eco Trail Retreat, Ladang Basir Ismail, Kota Tinggi. - Foto Nurul Amanina Suhaini

KOTA TINGGI: Seramai 1,000 peserta menyertai pertandingan kayuhan basikal lasak, Kulim Kota Tinggi MTB Challenge 3.0 anjuran Pejabat Daerah Kota Tinggi dan Johor Corporation (JCorp) menerusi anak syarikatnya, Kulim (Malaysia) Berhad yang diadakan di Kulim Eco Trail Retreat (KETR), Ladang Basir Ismail, dekat sini.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, berkata acara yang turut disertai kira-kira 200 aktivis basikal lasak dari luar negara itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM15,000.

Katanya, program terbabit bertujuan memperkenalkan Sungai Johor dan Kulim Eco Trail Retreat sebagai destinasi eko pelancongan dan sukan rekreasi di Johor selaras dengan hasrat kerajaan bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan amalan hijau dalam industri pelancongan.

"Ini adalah tahun ketiga Kulim menganjurkan acara sukan berbasikal yang dilihat semakin mendapat perhatian sejajar dengan trend masyarakat yang gemar kepada aktiviti rekreasi menyihatkan.

"Saya mewakili pihak penganjur mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada peserta yang bukan sahaja datang dari Semenanjung, malah peserta luar negara seperti dari Singapura, Indonesia, Filipina, Britain dan Jerman," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas program Kayuhan Basikal Lasak, Kulim Kota Tinggi MTB Challenge 3.0 dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Kota Tinggi, Zairul Adilla Zani.

Sementara itu, Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Korporat Kulim, Abdul Shukor Abdullah, berkata KETR menjadi antara produk eko pelancongan terbaharu yang dibangunkan pihaknya dengan berkonsepkan retreat boleh memuatkan sehingga 200 orang pada satu masa.

Katanya, keunikan bangunan dan sejarah KETR yang ditubuhkan sejak awal 2014 lalu, semakin mendapat perhatian dan dipenuhi pengunjung tempatan dan luar negara.

"Pengunjung boleh menikmati keindahan semula jadi, selain turut ditawarkan pelbagai aktiviti termasuk `stand up paddling' dan berkayak di Sungai Johor, berbasikal bukit, mendaki gunung serta lawatan ke kampung sekitarnya.

"Kulim menerusi KETR turut terbabit dalam pelbagai penganjuran acara lain yang kini disenaraikan dalam kalendar tahunan Pejabat Daerah Kota Tinggi antaranya Cabaran Kulim Kota Tinggi Ecoboat Fishing, Cabaran Kulim Kota Tinggi Badang Man dan Kulim Kota Tinggi Paintball.

Berita Harian X