Isnin, 18 Julai 2016 | 4:20pm
Projek Air Mentah Rapid (PAMER) di Empangan Seluyut, Kota Tinggi. - Foto Azren Jamaludin
Projek Air Mentah Rapid (PAMER) di Empangan Seluyut, Kota Tinggi. - Foto Azren Jamaludin

Projek Air Mentah RAPID mula beroperasi

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) menyentuh papan sesentuh khas sebagai simbolik perasmian sambil diperhatikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee (kanan) ketika majlis perasmian Pengoperasian Projek Air Mentah Rapid (PAMER) di Empangan Seluyut, Kota Tinggi. - Foto Azren Jamaludin

KOTA TINGGI: Projek Air Mentah RAPID (PAMER) bagi membekalkan air mentah ke Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC) dan Empangan Sungai Lebam bagi kegunaan awam, mula beroperasi hari ini.

Perasmian operasi PAMER disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Empangan Seluyut, dekat sini.

Mohamed Khaled berkata, projek bekalan air dengan kos kira-kira RM1 bilion itu mencukupi untuk keperluan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak Petrokimia (RAPID).

"Projek itu membuktikan andaian kononnya RAPID akan berdepan dengan masalah bekalan air sebagai tidak betul, " katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Hiliran PETRONAS, Md Arif Mahmood, berkata PAMER akan membekalkan 260 juta liter air mentah sehari (MLD).

Katanya, sebanyak 230 MLD dibekalkan untuk keperluan PIPC, manakala 30 MLD disalurkan kepada Empangan Sungai Lebam sebagai tambahan keperluan penduduk sekitar Pengerang.

"Projek ini sebahagian komitmen PETRONAS bagi membantu dan menyumbang kepada penduduk serta komuniti di Pengerang," katanya.

PAMER dibangunkan pada Mei 2014 di kawasan seluas kira-kira 2,630.5 hektar, membabitkan 1,011.7 hektar kawasan tadahan penyimpanan air di Seluyut.

Projek merangkumi pembinaan stesen pam pengambilan air di Sungai Sedili Besar dengan kapasiti penyimpanan air 72 juta meter padu di Sungai Seluyut, selain membabitkan tadahan di Bukit Panjang dan pemasangan 90 kilometer saluran paip bersaiz besar.

Berita Harian X