Khamis, 23 Jun 2016 | 5:35pm
PENGARAH Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Dr Aida Muhid. - Foto Hairul Anuar Rahim
PENGARAH Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Dr Aida Muhid. - Foto Hairul Anuar Rahim

43 lembu positif FMD

LEMBU di kawasan Endau. - Foto Ikhwan Muhamad
LEMBU di kawasan Endau. - Foto Ikhwan Muhamad

ENDAU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor melaksanakan langkah segera bagi membendung wabak penyakit kuku dan mulut (FMD), yang dikesan menjangkiti ternakan lembu di kawasan Mukim Teriang dan Endau, dekat sini, sejak 7 Jun lalu.

Pengarahnya, Dr Aida Muhid, berkata selain penggantungan serta-merta permit memindah keluar masuk ternakan terbabit dari kawasan berkenaan serta negeri yang dijangkiti wabak berkenaan iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka, pihaknya turut mengadakan program vaksinasi strategik di kawasan Belukar Juling dalam Mukim Endau serta Kampung Sungai Mengkuang di Mukim Teriang, dekat sini.

"Kami menjalankan pemerhatian klinikal bagi memantau ternakan yang menunjukkan tanda jangkitan dan merawat haiwan terbabit.

"Kami juga mengadakan kempen kesedaran awam di kawasan dijangkiti," katanya kepada pemberita selepas meninjau perkembangan FMD, di sini, hari ini.

Dr Aida berkata, sehingga semalam, sebanyak 43 ekor lembu milik 11 penternak di dua kawasan itu disahkan positif FMD.

Katanya, setakat ini, 35 peratus ternakan di Mukim Teriang dan Endau sudah divaksin.

Beliau turut menafikan tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa daging haiwan ternakan berkenaan tidak boleh dimakan.

"FMD bukan penyakit zoonotik dan hanya membabitkan kesan kepada ekonomi dalam industri penternakan.

"Oleh itu, daging haiwan terbabit selamat dimakan, namun bahagian tulang, kelenjar limfa dan organ perlu dilumpuhkan," katanya.

Dr Aida berkata, larangan hanya membabitkan pemindahan masuk dan keluar dari daerah itu, manakala aktiviti penyembelihan tetap dijalankan dengan kawalan ketat mengikut garis panduan pihak jabatan.

"Kesedaran dan pembetulan tanggapan masyarakat ini perlu dibuat. Ia berikutan ada berita tersebar di media sosial kononnya daging lembu dari daerah ini tidak boleh dimakan kerana dijangkiti FMD hingga menimbulkan kebimbangan orang ramai, termasuk penternak," katanya.

Berita Harian X