Rabu, 8 Jun 2016 | 6:33pm

Lelaki jumpa ular sawa batik 140kg

Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berjaya menangkap ular sawa dianggarkan sepanjang enam meter bersama hampir 30 biji telur di Kampung Parit Gantung Mukim Lima, Taman Nira, Batu Pahat. - Foto Essa Abu Yamin
Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berjaya menangkap ular sawa dianggarkan sepanjang enam meter bersama hampir 30 biji telur di Kampung Parit Gantung Mukim Lima, Taman Nira, Batu Pahat. - Foto Essa Abu Yamin

BATU PAHAT: Seorang lelaki yang sedang membersihkan kebun untuk membina rumah kakaknya menemui seekor ular sawa batik bersama kira-kira 30 biji telurnya di Kampung Parit Gantung Mukim Lima, di sini, pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Mohsin Jumadi, 52, yang sedang menebas semak samun di kebun berkenaan, terserempak dengan reptilia berkenaan yang dianggarkan sepanjang enam meter dan seberat 140 kilogram (kg) sedang berehat mengawal telurnya. 

Mohsin berkata, beliau dan pekerjanya pernah terserempak dengan seekor ular jantan yang lebih besar sebelum kejadian pagi ini.

"Kelmarin, saya dan pekerja terserempak seekor ular sawa yang jauh lebih besar namun ia melarikan diri ke parit berhampiran. Hati saya mula tidak sedap apabila membersihkan kawasan kebun pagi tadi sebelum melihat ular sawa betina berkenaan di dalam tunggul pokok reput," katanya.

Mohsin berkata, ular berkenaan tidak melarikan diri sebaik beliau menemuinya malah hanya mendiamkan diri dan berlingkar mengawal telurnya.

Katanya, beliau kemudian menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk bantuan lanjut.

JPAM mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum berjaya menangkap reptilia berkenaan yang mula bertindak agresif apabila didekati tiga anggota JPAM.

 

Berita Harian X