Isnin, 21 Disember 2015 | 2:49pm

SMK Sultan Ismail menang tiga Anugerah Citra Majalah DBP

GURU Media SMK Sultan Ismail, Noridah Kasim (kiri) bersama Pengetua, Suleiman A Rahman (tengah) dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Ahmad Shakir Jaafar memegang replika cek pada majlis Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Johor dan Melaka 2015, di Johor Bahru, hari ini. - Foto Dazar Suarman
GURU Media SMK Sultan Ismail, Noridah Kasim (kiri) bersama Pengetua, Suleiman A Rahman (tengah) dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Ahmad Shakir Jaafar memegang replika cek pada majlis Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Johor dan Melaka 2015, di Johor Bahru, hari ini. - Foto Dazar Suarman

JOHOR BAHRU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini dinobatkan sebagai penerima Majalah Terbaik pada majlis Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Johor dan Melaka 2015, hari ini.

Kemenangan itu melayakkan SMK Sultan Ismail membawa pulang wang tunai RM2,000, sijil serta buku sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pada majlis itu, sekolah berkenaan turut memenangi tempat pertama Kategori Penerbitan dan tempat kedua Kategori Bahasa, yang masing-masing membawa wang tunai RM1,000 dan RM1,300 berserta sijil dan buku sumbangan DBP.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah DBP Wilayah Selatan, Abdul Rahim Omar kepada Pengetua, SMK Sultan Ismail, Suleiman A Rahman pada majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di sini.

Sementara itu, Suleiman berkata, kemenangan itu sungguh bermakna khususnya kepada sidang redaksi sekolah dalam usaha menerbitkan majalah yang lebih bermutu tahun hadapan.

"Banyak penambahbaikan sidang redaksi sekolah lakukan tahun ini, dalam memastikan majalah yang diterbitkan berkualiti dan memenuhi kriteria ditetapkan oleh DBP.

Antaranya untuk memperkemaskan susunan gambar, mengubah grafik ke arah yang lebih abstrak serta penambahan isi kandungan bermutu terutama dalam bentuk esei, puisi dan cerpen," katanya.

Berita Harian X