Selasa, 30 Mei 2017 | 4:41pm

Kekang cubaan seludup di Sungai Golok, Kuala Tak Bhai

KOMANDER Markas Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulkafli Sariaat. - Foto Syamsi Suhaimi
KOMANDER Markas Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulkafli Sariaat. - Foto Syamsi Suhaimi

TUMPAT: Operasi Bersepadu selama empat hari yang diadakan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berjaya merampas barangan seludup, antaranya petrol dan diesel bernilai hampir RM58,000.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulkafli Sariaat, berkata operasi yang bermula pada 27 Mei lalu itu membabitkan 20 anggota PPM Pengkalan Kubor dan 21 anggota KPDNKK Kelantan di sepanjang Sungai Golok dan Kuala Tak Bhai.

"Nilai rampasan itu adalah yang terbesar tahun ini. Seramai dua individu berusia 21 dan 51 tahun ditahan dalam operasi bersepadu terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Rampasan itu membabitkan 1,020 liter petrol, 1,710 liter diesel, 19 kampit beras serta rampasan dua bot dan sebuah kereta jenis Toyota.

Beliau berkata petrol dan diesel yang dirampas itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui jalan air.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Padi dan Beras Negara 1994.

Zulkafli berkata PPM dan KPDNKK sentiasa bekerjasama bagi meneruskan operasi bersepadu secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk membanteras ketirisan barangan kawalan di sempadan negara.

Berita Harian X