Jumaat, 21 April 2017 | 10:05pm

MNRB serah 10 komputer bantu e-pembelajaran

PENGERUSI Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar (empat kiri) menyaksikan penyerahan Buku Pelaburan Amanah Saham Bumiputera kepada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Krau yang disampaikan oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Mohd Din Merican (kanan) kepada Guru besar SK Kuala Krau, selepas hadir merasmikan MNRB E-Learning Room di SK Kuala Krau. - Foto Nazirul Roselan
PENGERUSI Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar (empat kiri) menyaksikan penyerahan Buku Pelaburan Amanah Saham Bumiputera kepada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Krau yang disampaikan oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Mohd Din Merican (kanan) kepada Guru besar SK Kuala Krau, selepas hadir merasmikan MNRB E-Learning Room di SK Kuala Krau. - Foto Nazirul Roselan

TEMERLOH: Seramai 290 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Krau di sini, bakal menikmati proses pendidikan lebih moden menerusi bilik darjah e-pembelajaran, sumbangan MNRB Holdings Bhd (MNRB).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Mohd Din Merican, berkata penyerahan bilik darjah e-pembelajaran itu adalah bagi kemudahan murid sekolah angkat MNRB sejak tahun 2015, menimba ilmu pengetahuan menerusi internet.

  

Katanya, MNRB menyediakan 10 komputer riba untuk kegunaan murid serta guru melayari internet bagi mendapatkan maklumat tambahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran masing-masing.

  

"SK Kuala Krau adalah sekolah angkat MNRB menerusi 'Program Lestari Cemerlang MNRB'. Malah, kita juga turut menganjurkan program 'MNRB Ringgit Savvy', bertujuan memupuk minat generasi muda minat menabung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan komputer riba yang disempurnakan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar, di Temerloh, semalam.

   

Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan MNRB, Sharkawi Alis serta Presiden dan  Ketua Eksekutif  Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad. MNRB adalah anak syarikat PNB.

  

Mohd Din berkata, seramai 260 murid sekolah itu turut menerima buku pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebagai galakan untuk mereka menabung.

  

Sementara itu, Abdul Wahid berkata, pihaknya terharu dengan sambutan menggalakkan pengunjung walaupun pameran MSAM baharu masuk hari kedua.

   

Beliau berharap, orang ramai termasuk dari luar Pahang terus hadir memberi sokongan dan memanfaatkan program tahunan itu untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan pengurusan kewangan dan pelaburan.

   

"Alhamdulillah, hari ini (semalam) kunjungan orang ramai memberangsangkan. Kita jangkakan bilangan pengunjung akan terus bertambah sempena cuti panjang esok (hari ini), Ahad serta cuti umum pada Isnin," katanya.

info

Program Lestari Cemerlang MNRB

* Adalah program sekolah angkat yang bertujuan membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar di sekolah luar bandar

* Ia satu platform mewujudkan jaringan kerjasama erat di antara pihak sekolah dan Kumpulan MNRB

Berita Harian X