SITIAWAN: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) komited dalam usaha memelihara ekosistem maritim dengan terbabit dalam aktiviti menanam 15,000 pokok bakau di Lekir dekat sini.
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, insiatif itu selaras dengan semangat 'Green Navy' yang menyokong usaha 'Go Green Malaysia'.
Katanya, tiga aspek 'Green Navy' ialah aktiviti yang menjana ekonomi setempat, persekitaran yang membawa kepada kesedaran kehijauan dan kesedaran sosial untuk generasi akan datang.
"Dengan slogan 'pokok bakau pertahanan pesisiran pantai', kami menanam 15,000 pokok bakau yang berfungsi sebagai benteng pertahanan menghalang hakisan tanah serta menjadi pemecah ombak semula jadi.
"Difahamkan, kawasan seluas 300 meter persegi di sini berlaku hakisan dan dengan penanaman pokok ini diharap dapat menyumbangkan sesuatu kepada negeri sekali gus melaksanakan hasrat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk menanam lima juta pokok bakau dalam masa tiga tahun ini," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Penanaman 15,000 pokok bakau jenis Minyak dan Kurap di Kampung Parit Haji Dolah, Sungai Tiram, Lekir, dekat sini hari ini.
Seramai 1,000 peserta menyertai program itu membabitkan anggota TLDM, Polis DiRaja Malaysia, Majlis Perbandaran Manjung, Pejabat Tanah dan Daerah Manjung, pelajar institut pengajian tinggi dan pelajar sekolah.
Ahmad Kamarulzaman berkata, usaha itu juga dapat menyemarakkan semangat kesukarelawan antara anggota dan masyarakat dalam memulihara alam sekitar dan tanaman paya bakau.
"Ini satu usaha murni dan tidak hanya di laut kami juga mahu membantu menjaga persekitaran daratan supaya ia dapat dinikmati generasi akan datang," katanya.
Program sehari itu adalah permulaan kepada Sambutan Hari TLDM ke-83 dengan simbolik pertahanan pesisiran pantai selaras dengan fungsi pasukan itu sebagai benteng pertahanan dan keselamatan maritim negara.
end.