Isnin, 20 March 2017 | 4:06pm

Hasil tenun banduan dieksport ke Denmark

AB Basir memakaikan pingat kepada pegawai Jabatan Penjara Pahang sempena Majlis Sambutan Hari Penjara Malaysia Peringkat Negeri di Penjara Penor, Kuantan. - Foto Shahrinnahar Latib
AB Basir memakaikan pingat kepada pegawai Jabatan Penjara Pahang sempena Majlis Sambutan Hari Penjara Malaysia Peringkat Negeri di Penjara Penor, Kuantan. - Foto Shahrinnahar Latib

KUANTAN: Produk Tenun Pahang Diraja yang dihasilkan banduan Penjara Penor dan Bentong semakin mendapat perhatian dan turut menerima tempahan daripada kerabat diraja Denmark.

Pengarah Jabatan Penjara Pahang, Datuk Ab Basir Mohamad berkata pihaknya mendapat tempahan sebanyak 250 pasang kain Tenun Pahang Diraja daripada kerabat diraja negara Scandinavia itu pada tahun lalu.

Katanya, jualan produk Tenun Pahang Diraja yang dihasilkan banduan daripada dua penjara itu sepanjang tahun lalu berjumlah lebih RM400,000, melebihi sasaran RM380,000 yang ditetapkan.

"Ini membuktikan produk Tenun Pahang Diraja yang dihasilkan banduan mendapat permintaan yang tinggi di luar negara berikutan kualitinya yang tinggi dengan hasil tenunannya yang kemas dan cantik.

"Sehingga kini, kita mempunyai seramai 130 banduan di Penjara Penor dan Bentong yang mengikuti program membuat Tenun Pahang Diraja ini," katanya ditemui pada majlis Sambutan Hari Penjara Malaysia Peringkat Negeri Pahang, di Penjara Penor di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 188 anggota, pegawai dan penjawat awam di Jabatan Penjara Pahang menerima pingat dan sijil penghargaan.

Berita Harian X