Rabu, 8 March 2017 | 10:02pm

UnisZA lancar 'Digital hub'

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menandatangani plak sempena perasmian Digital Hub di UnisZa Kampus Tembila, Besut. - Foto Mohamad Ishak
MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menandatangani plak sempena perasmian Digital Hub di UnisZa Kampus Tembila, Besut. - Foto Mohamad Ishak

JERTIH: Universiti tempatan digalak menjalin kerjasama menerusi kolaborasi dengan sektor swasta bagi meningkatkan kepakaran teknologi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, perkongsian kepakaran antara universiti dan pihak swasta mampu melahirkan pelajar berkemahiran tinggi.

"Melalui penyelidikan, ia juga merapatkan hubungan antara universiti, kerajaan, industri dan komuniti.

"Usaha yang dilakukan Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa) yang menjalin kerjasama dengan syarikat swasta untuk mengadakan program Digital Hub adalah satu usaha baik dan perlu dicontohi universiti lain negara ini.

"Digital Hub ini adalah perkongsian pintar pertama antara universiti awam dan swasta di negara ini," katanya ketika melancarkan Digital Hub UnisZa Kampus Besut di Tembila dekat sini, hari ini.

Idris berkata, menerusi program itu, UnisZa dan Multimedia Universiti (MMU) berkongsi kepakaran dalam teknologi digital untuk mewujudkan peluang dan memangkin penyelidikan dan inovasi.

Idris berharap dengan adanya Digital Hub di UnisZa, ia juga dapat diguna pelajar dan pensyarah dari universiti lain.

Beliau turut mengalu-alukan lebih banyak pihak swasta bekerjasama dengan universiti awam bagi melahirkan lebih ramai pelajar terutama dalam bidang keusahawanan.

Berita Harian X