Khamis, 12 Januari 2017 | 3:31pm

Kesedaran majikan buat caruman pekerja masih rendah

KUALA BERANG: Kerajaan negeri mengarahkan semua majikan dalam pelbagai sektor terutama di kawasan pedalaman dan di luar bandar supaya membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk pekerja.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Datuk Tengku Putera Awang, berkata kesedaran majikan terutamanya yang beroperasi di kawasan pedalaman dan luar bandar mengenai caruman ke atas pekerja masih rendah.

Katanya, punca utama menyebabkan majikan gagal membuat caruman PERKESO disebabkan tidak mahu menanggung kerugian.

"Kerajaan negeri menganggap majikan yang enggan membuat caruman PERKESO untuk pekerjanya adalah tidak bertanggungjawab dan hanya mengutamakan kepentingan diri sendiri," katanya ketika mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyampaikan cek faedah pengurusan jenazah dan bayaran pencen pertama kepada, Anisha Jusoh, 34, balu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang meninggal dunia selepas menyertai operasi mencari orang hilang di Hutan Simpan Jerangau di sini, 3 Disember lalu.

Pada majlis itu, Anisah menerima cek faedah pengurusan berjumlah RM1,500 dan bayaran pencen pertama sebanyak RM650, selain sumbangan wang tunai daripada Tabung Pertahanan Awam.

Dalam kejadian 3 Disember lalu, arwah suami Anisha, Mohd Syawal Mohd Yusof, 35, yang menyertai operasi mencari orang hilang tiba-tiba rebah dan meninggal dunia selepas mangsa hilang ditemui di Hutan Simpan Jerangau.

Turut hadir adalah Pengarah Perkeso negeri, Nora Yaacob dan Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam Abdul Rahman.

Tengku Putera yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, berkata PERKESO diminta membuat pemantauan dan mengadakan program kesedaran kepada semua majikan, terutamanya yang beroperasi di luar bandar serta kawasan pedalaman.

Berita Harian X