Rabu, 11 Januari 2017 | 2:57pm

Penyeludup cabut tinggalkan tong petrol

PEGAWAI Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman (tengah) bersama anggotanya memeriksa sebahagian 20 tong berisi 600 liter minyak petrol yang dirampas dalam rondaan di pengkalan haram Tualang selepas sidang media di Pejabat Polis Marin Pengkalan Kubor, Tumpat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
PEGAWAI Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman (tengah) bersama anggotanya memeriksa sebahagian 20 tong berisi 600 liter minyak petrol yang dirampas dalam rondaan di pengkalan haram Tualang selepas sidang media di Pejabat Polis Marin Pengkalan Kubor, Tumpat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

TUMPAT: Terkejut dengan kehadiran sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM), dua lelaki yang sedang memunggah petro seludup melarikan diri dengan memecut bot ke tebing Sungai Golok.

Dalam serbuan di pangkalan haram Tualang pada jam 10.30 malam tadi, sebanyak 20 tong petrol gagal diseludup ke Thailand dan ditinggalkan di tebing sungai.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman, berkata sebelum serbuan, empat anggotanya membuat rondaan sekitar perairan Sungai Golok.

"Anggota kami ternampak kelibat dua individu sedang memunggah sesuatu ke dalam bot dan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka segera melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan di lokasi menemui 20 tong yang mengandungi 600 liter petrol yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand," katanya ketika ditemui di markas operasi PPM Pengkalan Kubor di sini pagi tadi.

Katanya, rampasan yang dianggarkan bernilai RM1,260 dibawa ke markas operasi dan kes disiasat di bawah Akta Polis 1967.

"Rampasan itu adalah yang ketiga sejak banjir dan kegiatan penyeludupan kembali aktif memandangkan air Sungai Golok mulai surut.

"Dalam tempoh banjir yang bermula 1 Januari lalu, kegiatan penyeludupan langsung tiada kerana situasi ketika itu yang agak cemas dan paras air sungai yang meningkat menyebabkan penyeludup juga menghentikan aktiviti kerana ada di kalangan mereka yang turut menjadi mangsa banjir.

"Bagaimanapun kes pertama dalam tempoh banjir diperoleh pada 5 Januari iaitu rampasan mercun di pangkalan haram Adi, Simpangan di mana 10 kotak mercun pelbagai jenis dirampas dengan nilai anggaran RM8,600," katanya.

Beliau berkata, PPM juga kembali menggiatkan kawalan dan rondaan bagi mengekang kegiatan penyeludupan kerana pihaknya turut terbabit dengan operasi menyelamatkan mangsa banjir baru-baru ini.

Berita Harian X