Selasa, 10 Januari 2017 | 7:18pm

PPM rampas 22 tong petrol

ANGGOTA PPM menunjukkan petrol cuba diseludup yang dirampas di dalam sebuah kenderaan di Kampung Banjir, Geting. - Foto ihsan PPM
ANGGOTA PPM menunjukkan petrol cuba diseludup yang dirampas di dalam sebuah kenderaan di Kampung Banjir, Geting. - Foto ihsan PPM

TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor merampas 22 tong yang mengandungi 30 liter petrol di Kampung Banjir, Geting di sini, hari ini.

Serbuan dilancarkan jam 1 pagi tadi di sebuah rumah oleh sepasukan anggota Unit Risik Marin (URM).

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan, Ahmad Amri Abd Rahman, berkata pemeriksaan dibuat terhadap sebuah kereta yang ditinggalkan dalam keadaan pintu tidak berkunci.

"Hasil pemeriksaan menjumpai 22 tong mengandungi petrol yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

"Nilai rampasan petrol dianggarkan berjumlah RM1,386 manakala kenderaan pula bernilai RM5,000," katanya ketika dihubungi di sini.

Semua barang rampasan dibawa ke markas operasi PPM Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Akta Polis 1967.

Ahmad Amri berkata PPM sentiasa berusaha untuk mengekang kegiatan penyeludupan bahan api kenderaan dan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat amat diperlukan.

Anggota PPM menunjukkan petrol yang dirampas di dalam sebuah kenderaan di Kampung Banjir, Geting di sini

Berita Harian X