Selasa, 10 Januari 2017 | 1:12pm

Jalan Kasban punca banjir termenung

 ARIFIN menunjukkan pam air yang digunakan untuk mengeluarkan air akibat banjir di beberapa buah kampung di Tumpat. - Foto Siti Rohana Idris
ARIFIN menunjukkan pam air yang digunakan untuk mengeluarkan air akibat banjir di beberapa buah kampung di Tumpat. - Foto Siti Rohana Idris

TUMPAT: Setiap kali dilanda banjir, kediaman bagi hampir 5,000 penduduk di beberapa kampung di daerah ini akan ditenggelami 'air termenung' selama dua minggu.

Situasi itu bukan sesuatu yang janggal bagi penduduk di sini, malah dialami sejak lebih 10 tahun lalu dan didakwa berpunca daripada pembinaan Jalan Kasban yang menyekat aliran air keluar ke Sungai Golok.

Antara kampung terbabit adalah Kampung Bendang Pak Yong, Simpangan, Kubang Sawa, Teluk Jering, Kuala Jambu, Pulau Ular dan Naga Ibu yang kerap dinaiki air lebih satu meter.

Seorang penduduk dari Kampung Derdap, Ariffin Awang Chik, 55, berkata penduduk kampung sudah lama memohon penyelesaian dilakukan kerana banjir termenung yang dialami tiada kesudahan.

ARIFIN dan adiknya, Fauzi menunjukkan lakaran jambatan yang dicadangkan untuk dibina bagi menyelesaikan masalah banjir termenung. - Foto Siti Rohana Idris
ARIFIN dan adiknya, Fauzi menunjukkan lakaran jambatan yang dicadangkan untuk dibina bagi menyelesaikan masalah banjir termenung. - Foto Siti Rohana Idris

"Isu ini kami bangkitkan sejak tujuh tahun lalu dan mencadangkan jambatan dibina bagi memudahkan air mengalir ke Sungai Golok.

"Kami cadangkan dua jambatan dibina iaitu di Kampung Pohon Nibong dan Kuala Kudung," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Setakat ini, katanya, hanya dua pam milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) digunakan untuk mengeluarkan air namun pada kadar amat perlahan.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam lawatan meninjau keadaan banjir di Tumpat, berkata kerajaan akan mempertimbangkan cadangan pembinaan jambatan baharu bernilai RM10 juta di kawasan itu.

Berita Harian X