Khamis, 8 Disember 2016 | 4:09pm

Ditahan cuba seludup petrol

TUMPAT: Seorang penyeludup minyak petrol ditahan malam tadi ketika sedang menunggu pemandu bot di Sungai Golok untuk membawa bahan terbabit ke Thailand.

Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan di pangkalan haram Bahaman, kira-kira jam 9 malam, selepas kenderaannya memasuki sebuah stor di sini yang menempatkan sejumlah tong yang berisi petrol.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman, berkata sebaik menerima maklumat, anggotanya menjalankan risikan dan serbuan di lokasi dan mendapati sebuah kenderaan jenis Mistsubishi Pajero sedang memasuki kawasan stor terbabit.

"Kami segera membuat serbuan dan menahan pemandu terbabit. Hasil pemeriksaan menemui 11 tong mengandungi 330 liter petrol yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Lelaki terbabit ditahan bersama barang rampasan termasuk kenderaan dan dibawa ke markas operasi PPM Pengkalan Kubor.

Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM6,643 termasuk kenderaan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Dan Bekalan 1961.

Ahmad Amri berkata, pihaknya sentiasa mempertingkatkan operasi dan kawalan terutamanya di lokasi yang dikenalpasti aktif menjalankan penyeludupan.

Berita Harian X