Sabtu, 3 Disember 2016 | 3:42pm

92.5% rakyat Terengganu berisiko penyakit

Oleh Baharom Bakar

bhkt@bh.com.my

KUALA TERENGGANU: Kira-kira 92.5 peratus penduduk negeri ini berisiko menghidap diabetis, hipertensi dan penyakit kardiovaskular kerana tidak mengambil sayur-sayuran secukupnya setiap hari.

Statistik Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan hanya 1 daripada 13 penduduk negeri ini mendapat nutrisi secukupnya berdasarkan tabiat pemakanan sihat.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh, berkata berdasarkan kajian, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari mampu mengurangkan risiko penyakit berkaitan selain mengawal berat badan.

Katanya, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan peratusan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam kalangan rakyat di seluruh negara menurun kepada 6.0 peratus pada 2015 berbanding 7.5 peratus pada 2011.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohammad Omar merasmikan Kempen Makan Buah dan Sayur Peringkat Negeri, di sini, hari ini.

Katanya, rakyat negeri ini disaran mengambil sekurang-kurangnya tiga sajian sayur dan dua jenis buah-buahan sehari.

"KKM mengambil inisiatif mengadakan promosi membudayakan amalan makan secara sihat mulai tahun depan," katanya.

Berita Harian X