Selasa, 29 November 2016 | 5:40pm

UMT tubuh pasukan 'Gerakan Banjir'

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menggerakkan Jawatankuasa Pelaksanaan Banjir di empat zon meliputi 28 kawasan berisiko banjir di sekitar Kuala Nerus, termasuk Pantai Tok Jembal yang mengalami hakisan teruk.

Antara lokasi yang diberi keutamaan jika hujan berlarutan seminggu ialah Kampung Pak Tuyu; Kampung Banggol Tok Lib; Kampung Wakaf Tengah; Gong Datuk; Kampung Pok Jin; Kubur Shariff; Taman Sri Nenas; Taman Bestari; Taman Perumahan Gong Badak; Kampung Gong Badak; Kampung Pak Tijah; Tok Jembal; Taman Sri Mayang serta di UMT.

Ketua Gerakan Banjir UMT, Prof Madya Dr Mohamad Fadhli Ahmad, berkata pihaknya sudah menyalurkan maklumat terkini kepada komuniti setempat dan penuntut di UMT melalui pengedaran risalah dan media UMT mengenai keadaan semasa hujan dan banjir di kawasan berkenaan.

Katanya, banjir dijangka bermula hari ini dan esok membabitkan kenaikan aras laut sebanyak 2.4 hingga 2.5 meter, manakala pada 1 hingga 6 Disember aras laut akan meningkat antara 2.5 hingga 2.6 meter.

"Bagaimanapun, pada 13 hingga 20 Disember ini, paras laut dijangka paling tinggi iaitu 2.6 hingga 2.8 meter. Bagi menggerakkan jawatankuasa ini, kami mewujudkan jawatankuasa kecil terdiri daripada jawatankuasa keselamatan, penerangan, kesihatan, logistik, teknikal, penginapan dan sukarelawan.

"Buat masa ini, keadaan di UMT masih terkawal dan air hanya naik 0.3 meter di beberapa kawasan di dalam UMT meskipun hujan tidak berhenti sejak malam tadi.

"Ketika ini, kita menutup beberapa laluan untuk kenderaan bermotor dan memberi nasihat kepada penuntut supaya menggunakan jalan lain yang tidak digenangi air," katanya pada sidang media di UMT, di sini, hari ini.

Berita Harian X