Ahad, 30 Oktober 2016 | 5:23pm

Masyarakat perlu sokong produk keluaran penjara

DATUK Ahmad Jazlan Yaakub. - Foto Imran Makhzan
DATUK Ahmad Jazlan Yaakub. - Foto Imran Makhzan

KOTA BHARU: Masyarakat perlu menyokong sebarang produk yang dihasilkan oleh banduan penjara kerana barangan berkenaan mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata produk yang dihasilkan mereka amat berkualiti seperti kain fabrik Tenunan Diraja Pahang yang sudah sampai ke peringkat antarabangsa.

"Jabatan Penjara Malaysia turut menyasarkan sebanyak RM32 juta jualan barangan yang dihasilkan oleh banduan di 36 penjara di seluruh negara tahun ini.

"Ini menunjukkan barangan yang dihasilkan oleh mereka amat berkualiti dan kita sebagai masyarakat perlu menyokong usaha ini dengan membeli barangan mereka," katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian Infokraf Jabatan Penjara Malaysia Peringkat Zon Timur 2016 di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Penjara Pahang, Datuk Ab Basir Mohamad, berkata seramai lebih 8,000 banduan dari seluruh negara menyertai program latihan kemahiran supaya mereka dapat berdikari apabila keluar penjara kelak.

"Daripada Januari sehingga September, sebanyak RM28.5 juta hasil jualan produk keluaran penjara diperolehi daripada jualan makanan sejuk beku, kain tenun, batik, kain songket, perkayuan, rotan serta perusahaan besi.

"Barang-barang berkenaan dipamerkan di beberapa lokasi termasuk di bilik pameran penjara, Mydin, Universiti Malaysia Pahang (UMP) serta konvensyen yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)," katanya.

Berita Harian X