Rabu, 21 September 2016 | 1:42pm

UMK raih jualan lebih RM400,000 sempena fiesta batik

MARY Yap (dua dari kanan) melihat batik Kelantan yang dibuat dengan corak menarik sambil diperhatikan Mortaza (kiri) pada Majlis Penutup Fiesta Batik Malaysia 2016 di UMK Kampus Kota, di Pengkalan Chepa, malam tadi. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
MARY Yap (dua dari kanan) melihat batik Kelantan yang dibuat dengan corak menarik sambil diperhatikan Mortaza (kiri) pada Majlis Penutup Fiesta Batik Malaysia 2016 di UMK Kampus Kota, di Pengkalan Chepa, malam tadi. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Minggu Fiesta Batik Malaysia 2016 anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meraih kutipan jualan lebih RM400,000 selama seminggu ia diadakan di sini.

Naib Canselornya, Datuk Mortaza Mohamed, berkata jualan batik yang diadakan di Dataran Al-Quran dan Hotel Perdana bermula 14 September lalu juga meningkatkan kesedaran awam mengenai pembuatan batik sebagai produk pelancongan di negeri ini.

Katanya, seramai 50 peniaga termasuk 30 pengusaha batik menyertai gerai jualan yang bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

"Kami mendapat maklum balas sangat positif dalam kalangan peserta dan ada antara mereka mendapat jualan RM17,000 sehari," katanya ketika ditemui di Majlis Penutup Fiesta Batik Malaysia 2016 di UMK Kampus Kota, di sini, malam tadi.

Majlis yang disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Minggu Fiesta Batik Malaysia 2016, Prof Datuk Dr Ibrahim Che Omar dan Pengarah Pusat Penyelidikan Keusahawanan dan Inovasi Global UMK, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad.

Katanya, dua syarikat milik mahasiswa UMK yang berasaskan batik berjaya diwujudkan sepanjang program itu, iaitu syarikat Qarya Art Studio dan Warni Aurora di bawah syarikat Futurizz Venture.

Sementara itu, Mary Yap berkata, program itu selaras Pelan Pendidikan Tinggi Negara (PPTN) yang berhasrat melahirkan mahasiswa bercirikan usahawan selain membuka ruang kerjasama dengan pihak Industri.

"Saya bangga dengan pencapaian mahasiswa yang menubuhkan dua syarikat selain program ini yang bukan saja ada unsur keusahawanan tetapi juga kreativiti iaitu mengangkat memartabat batik," katanya.

Berita Harian X