Rabu, 17 Ogos 2016 | 6:24pm

Banduan sakit tenat, keluarga mohon penjelasan

PENJARA Pengkalan Chepa. - Foto ihsan www.prison.gov.my
PENJARA Pengkalan Chepa. - Foto ihsan www.prison.gov.my

KOTA BHARU: Ahli keluarga seorang banduan lelaki yang mengalami kecederaan serius di perut di Penjara Pengkalan Chepa, mahu pihak berkuasa melakukan siasatan berhubung perkara itu.

Banduan berusia 27 tahun yang dimasukkan ke penjara berkenaan pada 14 Julai lalu atas kesalahan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab ll (HRPZ II) pada Isnin lalu untuk menjalani pembedahan.

Adik perempuannya berkata, mereka mahu mengetahui punca kecederaan itu hingga pembedahan terpaksa dilakukan.

"Pada 15 Ogos lalu, abang saya dimasukkan ke HRPZ II selepas dilaporkan sakit perut dan pembedahan dilakukan pada hari sama.

"Saya terkejut apabila pihak penjara memaklumkan perkara itu kerana abang tidak mempunyai penyakit serius.

"Kami harap pihak berkaitan menyiasat punca kejadian itu hingga pembedahan membuang usus dilakukan," katanya ketika ditemui di HRPZ II di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Penjara Kamarul Alam Taib, berkata pihaknya belum menerima laporan berhubung kes itu.

Katanya, banduan itu ada menerima rawatan daripada pegawai perubatan di penjara pada 1 Ogos lalu disebabkan penyakit gout yang dihadapi.

"Pada petang 15 Ogos lalu, dia dirawat sekali lagi kerana mengadu sakit dada sebelum dirujuk ke HRPZ II dan dirawat di wad," katanya.

Berita Harian X