Selasa, 16 Ogos 2016 | 2:24pm
TONG diesel yang dirampas. -Foto Ihsan PPM
TONG diesel yang dirampas. -Foto Ihsan PPM

PPM Pengkalan Kubor rampas 30 tong diesel

gn4id:15476826

ANGGOTA PPM Pengkalan Kubor menunjukkan sebahagian daripada 30 tong diesel di dalam sebuah kereta yang dirampas di Kampung Pak Keral, di sini, semalam.

TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor merampas 900 liter minyak diesel, di Kampung Pak Keral, di sini yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

Rampasan pada jam 6 petang semalam itu dibuat sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) ke atas sebuah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback yang memuatkan 30 tong mengandungi 30 liter diesel setiap satu yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1,575.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Suprintendan Ahmad Amri Abd Rahman, berkata dalam serbuan di sebuah lokasi penyimpanan diesel yang dipercayai akan diseludup ke negara jiran, pihaknya menemui sebuah kereta diletakkan berhampiran premis tidak bernombor.

"Tiada individu yang tampil mengaku sebagai pemilik kenderaan dan diesel terbabit.

"Barang rampasan dibawa ke pangkalan PPM Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 22 Akta Polis 1967," katanya kepada pemberita, di sini, tadi.

Ahmad Amri berkata, PPM di sini akan mempertingkatkan lagi usaha mengesan dan menangkap individu yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan yang membabitkan diesel bagi memastikan barangan bersubsidi itu tidak diseludup keluar dari negara.

Katanya, masyarakat juga diingatkan supaya tidak melindungi kegiatan itu selain diminta menyalurkan maklumat kepada PPM Pengkalan Kubor.

Berita Harian X