Selasa, 2 Ogos 2016 | 2:20pm

JAS kerjasama dengan rakan strategik jaga alam sekitar

KUANTAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalin kerjasama dengan 286 rakan strategik di seluruh negara dalam usaha menjaga alam sekitar.

Timbalan Ketua Pengarahnya (Pembangunan), Ismail Ithnin, berkata menerusi program rakan strategik yang dilaksanakan sejak 2013 itu, pihak terbabit akan bersama-sama JAS dalam melaksanakan pelbagai dasar dan membantu penjagaan alam sekitar.

"Pengusaha industri yang menjadi rakan strategik juga memainkan peranan dengan beroperasi tanpa memberi kesan kepada alam sekitar dan kita galakkan mereka mengaplikasi Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

"Ia satu pendekatan baik dalam menjaga alam sekitar. Selain pengusaha industri, rakan strategik lain adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan penyedia perkhidmatan seperti agensi kerajaan.

"Kami akan cuba menarik lebih banyak pihak jadi rakan strategik JAS, terutama pengusaha industri kerana kerjasama sebelum ini memberi hasil positif," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara JAS dengan pengusaha kilang sawit di Pahang yang turut dihadiri Pengarah JAS negeri, Rosli Zul, di sini hari ini.

Sebanyak 52 daripada 71 syarikat kilang sawit di negeri ini bersetuju menjadi rakan strategik JAS Pahang dan memeterai MoU berkenaan.

Pada majlis sama, turut diumumkan penubuhan Kelab Alam Sekitar Kilang-Kilang Sawit Pahang yang akan membantu JAS melaksanakan pelbagai program kesedaran alam sekitar.

Berita Harian X