Khamis, 23 Jun 2016 | 1:17pm

22,770 lembu diberi vaksin elak FMD

KUANTAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang sudah melakukan pemvaksinan terhadap 22,770 lembu di seluruh negeri ini dalam usaha membendung penularan penyakit kuku dan mulut (FMD).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif, berkata semua ternakan lembu yang diberi vaksin adalah dari daerah Jerantut, Maran dan Rompin.

"Kita sudah memberi suntikan vaksin FMD kepada ternakan di kawasan terbabit bagi meningkatkan tahap imuniti haiwan itu daripada serangan virus berkenaan.

"Proses pemvaksinan diharap dapat mengurangkan risiko penyebaran virus FMD kepada lembu di kawasan lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shafik memberi jaminan bekalan daging lembu sempena Aidilfitri tidak terjejas dengan kejadian FMD di beberapa daerah di negeri ini.

"Orang ramai tidak perlu khuatir kerana kita ada bekalan daging lembu mencukupi untuk kegunaan pada hari raya.

"Kita ada bekalan daging (lembu) tempatan dan import, maka tidak ada masalah (kekurangan) bekalan.," katanya.

Berita Harian X