Isnin, 23 Mei 2016 | 1:11pm

HRPZ II sasar 29,000 penderma darah tahun ini

TIMBALAN Pengarah HRPZ II, Dr Ariffin Noor (dua dari kanan) diiringi Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman (dua dari kiri) melawat anggota bomba yang menderma darah sempena program derma darah anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat serta HRPZ II di Kota Bharu. - Foto Faris Zainuldin
TIMBALAN Pengarah HRPZ II, Dr Ariffin Noor (dua dari kanan) diiringi Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman (dua dari kiri) melawat anggota bomba yang menderma darah sempena program derma darah anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat serta HRPZ II di Kota Bharu. - Foto Faris Zainuldin

KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) menyasarkan seramai 29,000 penderma darah sepanjang tahun ini berbanding 25,000 penderma bagi tahun lalu.

Timbalan Pengarah HRPZ II, Dr Ariffin Noor, berkata pihak hospital sangat memerlukan penderma darah bagi menampung tabung darah untuk menghadapi pelbagai kemungkinan termasuklah kekurangan bekalan dan kemalangan.

"Untuk program hari ini, kami menyasarkan 300 beg darah diperoleh daripada penderma terdiri daripada pelbagai agensi badan beruniform," katanya selepas merasmikan program derma darah anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat serta HRPZ II di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, bekalan darah ketika ini masih lagi mencukupi dan tidak kritikal tetapi pada Ramadan ini, dijangka penderma darah akan berkurangan.

"Kebiasaannya pada Ramadan, penderma beragama Islam hanya dapat menderma pada waktu malam, menyebabkan jumlahnya agak berkurangan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan komited dalam isu kesihatan dengan menyalurkan pelbagai bantuan termasuk mesin pengasing darah pembeku dan plasma untuk kegunaan HRPZ II

"Kerajaan Pusat juga membina bangunan rawatan harian di HRPZ II supaya pembedahan dapat dilakukan setiap hari," katanya.

Ketika ditanya mengenai penularan virus Zika di negeri ini, beliau berkata pihaknya sentiasa bersiap sedia sekalipun kes yang dilaporkan di Singapura adalah terpencil.

"Pihak kesihatan sentiasa mengadakan pemeriksaan di setiap pintu masuk utama ke negara ini bagi mencegah sebarang kemungkinan wabak itu menular ke negara ini," katanya.

Berita Harian X