Rabu, 18 Mei 2016 | 5:54pm

UMP meterai kerjasama dengan industri

PEKAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan syarikat tempatan, Dimension Bid Sdn Bhd (DBSB) bagi pengkomersialan produk yang boleh dimanfaatkan oleh industri minyak dan gas.

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata kerjasama itu membabitkan perkongsian kepakaran dan pengalaman terutama dalam bidang formulasi bahan kimia bagi kegunaan industri minyak dan gas.

"UMP komited memberikan tumpuan khusus terhadap kemampanan penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat melalui kluster penyelidikan yang berstruktur," katanya pada majlis memeterai MoA di UMP Kampus Pekan, dekat sini, hari ini.

Daing Nasir dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Prof Dr Jamil Ismail memeterai perjanjian itu dengan Ketua Pegawai Eksekutif DBSB, Datuk Aziz Ayob serta Ketua Pegawai Operasinya, Mia Indorman Ismail.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation, Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.

DBSB adalah syarikat Bumiputera yang beroperasi sejak 22 tahun lalu dan turut melaksanakan projek di Vietnam, Myanmar, Thailand, Indonesia, Filipina, Turkmenistan dan Arab Saudi.

Daing Nasir berkata, kepakaran dimiliki syarikat itu relevan dengan bidang kejuruteraan dan sains ditawarkan di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik serta Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian.

Beliau berkata, skop kolaborasi itu tidak hanya memberi manfaat berkaitan aspek penyelidikan, inovasi dan daya saing tetapi juga mampu meningkatkan kepakaran serta kemahiran kakitangan dan pelajar UMP termasuk membabitkan sangkutan kakitangan, penempatan latihan industri pelajar, kursus jangka pendek serta undangan syarahan tamu.

Sementara itu, Aziz berkata, kerjasama membabitkan kepakaran UMP dan pengalaman industri DBSB itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak terutama dalam menggalakkan lebih banyak projek penyelidikan dijalankan.

Pada masa sama, beliau turut menyampaikan sumbangan Anugerah Industri Dimension Bid sebanyak RM50,000 kepada UMP untuk dianugerahkan kepada pelajar cemerlang pada setiap kali Majlis Konvokesyen UMP bermula tahun ini.

Berita Harian X