Selasa, 12 April 2016 | 3:30pm

Guna pendekatan mendidik tangani buli

KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khir Mohamad Yusoff. - Foto Fariz Iswadi Ismail
KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khir Mohamad Yusoff. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KUALA TERENGGANU: Pendekatan mendidik lebih baik daripada menghukum bagi mengurangkan kes buli membabitkan pelajar di sekolah dan di luar waktu persekolahan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khir Mohamad Yusoff, berkata pengetua dan guru besar memainkan peranan penting bagi memastikan prosedur pencegahan, pemulihan dan tindakan terhadap pelajar yang terbabit kes buli dapat dilaksanakan dengan cara lebih efektif.

Katanya, setiap tahun sebanyak dua peratus membabitkan kes buli dilaporkan berlaku di sekolah berbanding kes lain.

"Kementerian mempunyai prosedur bagi menangani kes buli iaitu Pekeliling 8 Tahun 2010 dan 2011 yang menyatakan dengan terperinci mengenai pencegahan, pemulihan dan tindakan yang boleh diambil oleh pengurusan sekolah jika berlaku kes buli.

"Bagaimanapun, kuasa terletak di tangan pengetua dan guru besar untuk melakukan tindakan sama ada mengambil pendekatan mendidik atau hukuman," katanya kepada media selepas merasmikan persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan, Pengetua Sekolah Malaysia Kali ke-55 di sini, malam tadi.

Seramai 586 pengetua daripada sekolah seluruh negara hadir ke persidangan yang berlangsung selama tiga hari di Hotel Primula, Batu Buruk, di sini.

Khir berkata, sekolah perlu tahu cara tertentu yang perlu diambil ke atas pelajar yang terbabit buli, namun menyarankan pihak sekolah menggunakan pendekatan psikologi yang lebih mesra.

Berita Harian X