Selasa, 15 March 2016 | 4:53pm

Kawal aktiviti pelancongan di kawasan batu karang

NAIB Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar (kiri) melihat belangkas yang diawetkanl diberi penerangan oleh Pengerusi (ICNP), Prof. Madya Dr. Noraznawati Ismail selepas Majlis Perasmian International Conference On Natural Products 2016 (ICNP 2016) di Permai Hotel, Kuala Terengganu. - Foto Aswadi Alias
NAIB Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar (kiri) melihat belangkas yang diawetkanl diberi penerangan oleh Pengerusi (ICNP), Prof. Madya Dr. Noraznawati Ismail selepas Majlis Perasmian International Conference On Natural Products 2016 (ICNP 2016) di Permai Hotel, Kuala Terengganu. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Aktiviti pelancongan laut terutama di kawasan terumbu karang perlu dikawal bagi memastikan sumber marin tidak terjejas berikutan fenomena El Nino yang diramal berterusan hingga Jun depan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata cuaca panas melampau dalam jangka masa panjang dijangka menyebabkan batu karang terutama daripada spesies yang sensitif terdedah kepada proses pelunturan akibat suhu tinggi.

Justeru, sebarang aktiviti seperti snorkeling atau selam skuba terutama dalam bentuk kumpulan di kawasan sensitif dan taman laut perlu dipantau atau dihentikan segera bagi mengelak lebih kerosakan kepada batu karang yang menjadi sumber makanan utama hidupan marin.

"Apabila suhu panas lebih daripada 30 hari, spesies batu karang yang sensitif akan mengalami proses pelunturan.

"Justeru, kita perlu rehatkan spesies yang 'sakit' ini daripada sebarang gangguan terutama aktiviti seperti snorkeling secara beramai-ramai yang akan menyebabkan kemusnahan lebih teruk.

"Ini kerana, ia secara tidak langsung akan menjejaskan ekosistem marin lain seperti mana kita sedia maklum hidupan marin bergantung kepada terumbu sebagai sumber makanan penting," katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Produk Sumber Asli (ICNP) 2016 di sini, hari ini.

Seramai 300 peserta terdiri daripada penyelidik dari tujuh negara termasuk Australia, Jepun, Korea, United Kingdom dan China menyertai persidangan tahunan kali Ke-32 itu.

Turut hadir, Presiden Produk Asli Malaysia (MNPS), Prof Dr Ibrahim Jantan.

Mengulas lanjut, Nor Ainie berkata UMT juga akan menghantar pasukan pemantau dan penyelidik untuk mengawasi dan menjalankan kajian di kawasan yang terjejas serta sensitif di laut.

"Sebenarnya ini adalah masa dan kesempatan terbaik untuk saintis menjalankan penyelidikan serta kajian di bawah laut bagi merungkai lebih banyak penemuan seperti 'microbiotics properties' yang terhasil daripada batu karang yang masih hidup.

Selain itu, banyak lagi kajian marin boleh dilakukan kerana laut menerima impak lebih besar kesan fenomena El Nino daripada bahagian lain kerana keluasannya adalah lebih satu pertiga daripada bumi," katanya.

Berita Harian X