Sabtu, 16 Januari 2016 | 2:50pm

Gabungan parti politik Melayu kuatkan perpaduan Islam

PASIR MAS: Semua parti politik Melayu disaran bergabung tanpa mengira ideologi bagi menguatkan perpaduan umat Islam di negara ini.

Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali, berkata perpaduan umat pada masa ini dilihat semakin rapuh dan amat membimbangkan.

Katanya, lebih membimbangkan ialah kewujudan campur tangan asing yang sememangnya mahu melihat Malaysia hancur.

Sehubungan itu, beliau berharap pemimpin PAS dan UMNO bersatu dalam konteks 'menyelamatkan' umat Islam di negara ini daripada menjadi hamba kuasa lain.

"Usaha MTRK untuk menyatukan orang Melayu dilakukan sejak dua tahun lalu kerana melihat senario sekarang semakin membimbangkan, sama ada dari segi politik mahupun keselamatan.

"Jika Malaysia jatuh ke tangan kuasa lain, akan terjadilah seperti umat Islam di selatan Thailand yang merempat di bumi sendiri," katanya selepas majlis Himpunan Penyatuan Melayu di Cabang Tiga Laka yang disertai kira-kira 1,000 orang, di sini semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta orang Melayu mengukuhkan perpaduan tanpa mengira fahaman politik.

PRESIDEN Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali. - Foto Facebook
PRESIDEN Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali. - Foto Facebook

Berita Harian X