Jumaat, 1 Januari 2016 | 3:39pm

Guru cuai kes buli murid diarah tukar sekolah

PENGERUSI Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib. - Foto Mohd Syafiq Ambak
PENGERUSI Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib. - Foto Mohd Syafiq Ambak

KUALA NERUS: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) sudah mengambil tindakan ke atas seorang guru dengan menukarkannya ke sekolah lain kerana didapati melakukan kecuaian berhubung kes buli di sebuah sekolah di Besut, November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib, berkata Penolong Kanan Hal Ehwal Murid berkenaan yang akan memulakan tugas di sekolah baharu Ahad ini juga diberi amaran supaya tidak mengulangi kecuaian sama.

Beliau berkata, tindakan yang dikenakan itu selepas siasatan terperinci terhadap satu kes buli membabitkan seorang murid Tahun Empat yang disepak, ditumbuk dan dipaksa mencium stokin oleh beberapa murid Tahun Lima dalam surau sekolah berkenaan.

"Guru berkenaan sudah ditukarkan sekolah tetapi masih dalam daerah yang sama. Dengan tindakan ini, kita harap ia menjadi pengajaran kepada guru lain bahawa seorang pendidik harus mempunyai sikap tanggungjawab terutama ketika pembelajaran dan pengajaran bermula jam 7.30 pagi hingga 2 petang.

"Dalam tempoh itu, guru tidak boleh memberi satu alasan seperti terlepas pandang atau kejadian yang berlaku ini di dalam kawasan surau yang sudah tidak digunakan," katanya.

Sebelum ini, sebuah video berdurasi enam minit 29 saat memaparkan sekumpulan murid lelaki berpakaian sukan membuli seorang murid berpakaian pengawas di surau sebuah sekolah rendah di Besut menjadi viral di laman sosial.

Mengulas lanjut, Ghazali berkata pihaknya juga mengesahkan perkara itu sudah selesai berikutan keluarga murid menarik balik laporan polis yang dibuat dan memaafkan pembuli anaknya itu.

Berita Harian X