Sabtu, 10 Jun 2017 | 3:44pm

Tengku Amir serah sumbangan Aidilfitri

TENGKU Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada anak-anak yatim di Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2017 Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - Foto Roslin Mat Tahir
TENGKU Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada anak-anak yatim di Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2017 Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, berkenan menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim daerah Klang dan Petaling, dalam satu majlis di Masjid Sultan Salahuddin Idris Shah, hari ini.

Baginda turut berkenan menerima geran tanah yang diwakafkan seorang individu untuk pembinaan sebuah rumah kebajikan untuk anak yatim di bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Pengerusi YIDE, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata seramai 2,243 anak yatim di kedua-dua daerah itu menerima RM100 setiap seorang yang diperuntukkan oleh yayasan itu.

"Sumbangan berjumlah RM224,300 itu disalurkan bagi membantu mereka membuat persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang dua minggu lagi.

"Hari ini, YIDE juga mengagihkan lebih 3,000 kad peduli sihat kepada anak-anak yatim dan penjaga mereka.

"YIDE juga menerima sumbangan RM150,000 dari Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB) yang disampaikan Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Pentadbiran PNSB, Mohd Yusof Joned kepada Raja Muda Selangor untuk diinfaqkan kepada anak yatim tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Sumbangan Aidilfitri dan Menerima Tanah Wakaf bagi Pembinaan Rumah Kebajikan Anak Yatim, di sini.

Yang turut hadir, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS), Mohd Basori Umar.

Mohamad Adzib berkata, YIDE adalah organisasi penuh milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kebajikan anak yatim di seluruh Selangor khususnya berkenaan sumbangan Aidilfitri.

"Matlamat utama YIDE adalah menjaga kebajikan mereka, kerana anak yatim adalah antara golongan yang disebut di dalam al-Quran, yang perlu diberi perhatian.

"Langkah proaktif yang diambil oleh YIDE adalah menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku Penaung YIDE iaitu untuk menjaga setiap kemaslahatan anak yatim dalam Selangor.

"Baginda amat prihatin khususnya perkara membabitkan hal ehwal anak yatim di dalam negeri naungan baginda," katanya.

Pada majlis sama, Mohamad Adzib berkata, seorang individu dari Shah Alam menyerahkan tanah wakaf di Pulau Indah seluas 0.8 hektar kepada YIDE untuk pembangunan rumah kebajikan anak yatim.

"Majlis pecah tanah rumah kebajikan anak yatim ini akan dimulakan awal Januari tahun depan, dan YIDE serta pewakaf turut mencapai kata sepakat untuk menamakannya Rumah Kebajikan Anak Yatim Tengku Amir Shah jika mendapat perkenan Raja Muda Selangor," katanya.

Berita Harian X