Isnin, 24 April 2017 | 7:03pm

Bas Rapid KL ke KKKL

 

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Prasarana Sdn Bhd (Prasarana), Rapid Bus memperkenalkan Laluan 402 (Route 402), yang menawarkan hentian di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL) di Jalan Fletcher dan beroperasi mulai esok.

Hentian di KKKL bagi Laluan 402 itu menjadikan klinik kesihatan berkenaan kini boleh diakses sepenuhnya, menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan Transit Aliran Ringan (LRT).

 

Ketua Pegawai Operasi Rapid KL, Azam Omar, berkata orang awam boleh menaiki bas bagi Laluan 402 pada sepanjang laluan ke hentian Titiwangsa, yang akhirnya menghubungkan LRT Ampang / Sri Petaling dan Stesen Monorel Titiwangsa.

 

"Penumpang boleh menaiki bas Laluan 402 Rapid KL di perhentian bas di stesen LRT KLCC, Stesen Ampang Line Taman Maluri atau dari Stesen Titiwangsa yang menuju ke Stesen LRT Maluri melalui KLCC dan Jalan Tun Razak.

 

"Bas berkenaan akan berhenti di hadapan stesen minyak Shell di Jalan Tun Razak, yang terletak kira-kira 70 meter dari pintu belakang Klinik Pesakit Luar KKKL," katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Azam berkata, perkhidmatan laluan bas berkenaan akan beroperasi bermula esok dengan kekerapan 30 minit bagi setiap perjalanan.

 

Sebagai permulaan, katanya, sebanyak lima bas disediakan untuk laluan berkenaan dan akan menambah bilangan bas jika ada permintaan tinggi bagi laluan itu.

 

KKKL Jalan Flecher dibuka kepada orang awam pada 3 April lalu bagi menggantikan Jabatan Pesakit Luar Hospital Kuala Lumpur (HKL), yang ditutup sepenuhnya awal bulan ini.

Berita Harian X