Rabu, 12 April 2017 | 12:55pm

RM30,000 habuan Cabaran Memancing Port Dickson

PORT DICKSON: Cabaran Memancing Terbuka (CMT), Festival Pantai Port Dickson (FPPD) yang berlangsung di Pantai Cahaya Negeri (PCN) Negeri Sembilan, pada 1 Mei depan, dijangka dapat menarik lebih 1,000 penyertaan termasuk dari Singapura dan Indonesia. 

Jangkaan itu, berikutan acara serupa yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di lokasi berkenaan pada tahun lalu berjaya menarik ramai pemancing dari Singapura dan Indonesia terutama dari Batam. 

Pengarah LPNS, Baharudin Jali, berkata jumlah peserta untuk cabaran kali ini yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM30,000 dijangka meningkat berikutan 1 Mei adalah cuti umum sempena Hari Pekerja.   

"Juara akan membawa pulang wang tunai RM15,000, manakala naib juara mendapat RM5,000 dan tempat ketiga menerima RM1,000.   

"Cabaran ini berkonsepkan 'Hadiah Sapu Bersih' makanya hadiah wang tunai juga disediakan kepada pemenang di tangga keempat hingga ke-40," katanya.

Kaunter pendaftaran akan dibuka pada 30 April, bermula jam 3 petang hingga jam 10 malam di Khemah Urusetia CMT, FPPD di lokasi pertandingan sehingga hari pertandingan.

Berita Harian X