Jumaat, 31 March 2017 | 6:32pm
KETUA Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir Zohari Sulaiman
KETUA Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir Zohari Sulaiman

Parkir percuma di Stesen LRT Ampang

Stesen LRT. - Foto Hiasan
Stesen LRT. - Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Sempena ulang tahun ke-20 LRT laluan Ampang, pengguna bakal menikmati kemudahan parkir percuma di Kompleks Parkir Bertingkat Stesen LRT laluan Ampang bermula 1 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir Zohari Sulaiman, berkata promosi akan berlangsung selama enam bulan hingga 30 September ini.

"Ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada pengguna yang setia menggunakan perkhidmatan stesen LRT Ampang sejak ia dibina.

"Selain itu, kami berharap usaha ini akan menggalakkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam bagi laluan Ampang dan Sri Petaling terutamanya oleh penduduk di sekitar Ampang ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ir Zohari berkata, penanda atau 'bunting' akan dipasang di sekitar stesen LRT Ampang bagi memudahkan pergerakan orang ramai ke kompleks parkir berkenaan.

"Pelbagai inisiatif lain bakal dilaksanakan dari semasa ke semasa. Seperti yang sedia maklum, Rapid Rail dan Prasarana Malaysia Bhd komited dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan nisbah penggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus menjelang tahun 2030," katanya.

LRT laluan Sri Petaling dan Ampang ini mengendalikan hampir 200,000 penumpang sehari.

"Kompleks pakir lima tingkat itu mempunyai 1,140 petak tempat letak kereta dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden termasuk lif, kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) serta laluan pejalan kaki berbumbung ke stesen LRT Ampang terbabit.

Perkhidmatan LRT berkenaan sudah beroperasi sejak akhir tahun 1997 sebagai STAR LRT sebelum diambil alih oleh Prasarana pada tahun 2002.

Berita Harian X