Selasa, 28 March 2017 | 3:38pm

Premis proses sarang burung walit diserbu

MUSTAFAR (dua dari kiri); Ketua Polis Daerah Klang Utara, Mohd Yusoff Mamat (dua dari kanan) dan Hadzwan (kiri) menyoal seorang pekerja warga asing ketika mengadakan operasi khas di sebuah syarikat pemprosesan dan pemasaran sarang burung di Klang. - Foto Muhammad Sulaiman
MUSTAFAR (dua dari kiri); Ketua Polis Daerah Klang Utara, Mohd Yusoff Mamat (dua dari kanan) dan Hadzwan (kiri) menyoal seorang pekerja warga asing ketika mengadakan operasi khas di sebuah syarikat pemprosesan dan pemasaran sarang burung di Klang. - Foto Muhammad Sulaiman

KLANG: Seramai 172 pekerja, sebahagian besarnya warga Indonesia terkejut apabila sebuah premis memproses dan memasarkan sarang burung walit di sini, diserbu sepasukan polis.

Ia berikutan syarikat itu disyaki memaksa pekerjanya bekerja lebih masa tanpa dibayar gaji setimpal.

Ketua Pasukan Khas Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), Deputi Superintendan Hadzwan Zulkefle berkata, serbuan dijalankan berdasarkan maklumat dan risikan selama tiga minggu berhubung kegiatan di premis berkenaan.

Katanya, operasi khas itu dijalankan oleh Pasukan Khas MAPO dengan kerjasama ATIPSOM Bukit Aman; Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor; Jabatan Imigresen Putrajaya dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Siasatan awal mendapati, ada beberapa kesalahan dilakukan seperti memaksa pekerjanya bekerja lebih masa sehingga 16 jam sehari, contohnya sehingga jam 2 hingga 3 pagi sebelum bekerja semula pada jam 7.30 pagi hari keesokannya.

"Kami dapati pekerja dipotong gaji melampau, dipaksa bekerja pada hari cuti selain tiada penyata gaji dan surat tawaran pekerjaan.

"Pekerja yang ditemui membabitkan 152 wanita Indonesia, tiga wanita Myanmar dan 17 warga tempatan," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Menurut beliau, pemilik premis bergelar Datuk berusia 29 tahun itu berada di premis ketika serbuan dan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Hadzwan berkata, semua pasport, rekod pekerjaan, serta dokumen membabitkan urusan kemasukan ke Malaysia turut dirampas dalam operasi itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 ATIPSOM 2007, Seksyen 39B Akta Imigresen 1957 dan Akta Pekerja.

Berita Harian X