Sabtu, 21 Januari 2017 | 6:30pm

Warga Indonesia maut tergelincir ketika menebas rumput

MAYAT Tris Pawit ditemui mati lemas di dalam kolam takungan air di Kampung Ulu Temiang, Seremban. - Foto Ihsan Bomba
MAYAT Tris Pawit ditemui mati lemas di dalam kolam takungan air di Kampung Ulu Temiang, Seremban. - Foto Ihsan Bomba

SEREMBAN: Seorang warga Indonesia maut apabila dipercayai tergelincir ketika menebas rumput di tepi kolam ikan di Taman Desa Temiang di sini, hari ini.

Tris Pawit, 42, ditemui terapung oleh pemilik kolam ikan dan kebun sayur itu, kira-kira jam 9.10 pagi yang kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, berkata majikan warga tempatan itu memberitahu bahawa Tris bekerja dengannya sejak tujuh tahun lalu dan tinggal seorang diri di sebuah pondok berhampiran kolam itu.

Katanya, siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dengan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini untuk bedah siasat dan mengenal pasti punca kematian," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Pegawai Bomba Kanan II N Sundram, berkata pihaknya menerima panggilan dari polis berhubung kejadian itu, kira-kira jam 10.53 pagi.

Katanya, anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menarik mayat mangsa ke tepi kolam itu.

"Mangsa ditemui lengkap berpakaian dan memakai but. Kami juga menjumpai peralatan memotong rumput berhampiran kolam itu," katanya.

Berita Harian X