KUALA LUMPUR: Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) menyediakan bas pengantara hari ini, berikutan kelewatan perkhidmatan sistem transit aliran ringan (LRT) Laluan Ampang.
Ketua Pegawai Operasinya, Abdul Hadi Amran, berkata 20 bas akan disediakan bagi tujuh stesen Transit Aliran Ringan (LRT) terbabit termasuk Pandan, Cheras dan Ampang.
Katanya, kekerapan bas antara 15 hingga 30 minit membabitkan tiga zon merangkumi zon satu iaitu Stesen Ampang dan Cahaya; zon dua Cempaka dan Pandan Jaya serta zon tiga, Maluri dan Miharja.
"Kami melakukan kerja naik taraf sistem pengisyaratan bermula tengah malam semalam.
"Kerja utama yang dilaksanakan adalah penukaran dan menaik taraf trek saluran utama," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Abdul Hadi berkata, masih ada kerja pengakhiran perlu dilaksanakan tetapi ia akan dilakukan selepas tamat waktu perkhidmatan untuk tidak mengganggu masa perkhidmatan harian.