Jumaat, 9 Disember 2016 | 10:14pm
 KEADAAN Al-Quran yang dibakar oleh pihak yang tidak bertanggung jawab ditemui di bawah jambatan dekat sungai Melaka berhampiran Melaka Sentral. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
KEADAAN Al-Quran yang dibakar oleh pihak yang tidak bertanggung jawab ditemui di bawah jambatan dekat sungai Melaka berhampiran Melaka Sentral. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

JAIM temui naskhah al-Quran dibakar, ditinggalkan bawah jambatan

PEGAWAI Jabatan Agama Islam (JAIM) memeriksa Al-Quran yang di jumpai terbakar di bawah jambatan dekat sungai Melaka berhampiran Melaka Sentral. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
PEGAWAI Jabatan Agama Islam (JAIM) memeriksa Al-Quran yang di jumpai terbakar di bawah jambatan dekat sungai Melaka berhampiran Melaka Sentral. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Sebanyak 10 naskhah al-Quran ditemui anggota dari Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan kesan terbakar di bawah jambatan Jalan Bachang berhampiran Melaka Sentral, di sini, semalam.

Difahamkan, bungkusan plastik berisi naskhah al-Quran yang telah terbakar itu ditemui JAIM susulan panggilan yang diterima daripada orang awam kira-kira jam 3 petang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIM, Muhammad Mawardi Shafai, berkata sebaik menerima maklumat pihaknya bergegas ke lokasi terbabit sebelum mengesahkan terdapat dua bungkusan plastik berisi ayat suci al-Quran telah dibakar.

"Jelas memang berlaku pembakaran ayat suci al-Quran di mana seseorang telah membakar dan meninggalkan bungkusan berisi naskhah al-Quran di bawah jambatan ini.

"Kita dapati sebanyak 10 naskhah ayat al-Quran termasuk Muqadam dan beberapa buku agama yang ditinggalkan telah dibakar individu terbabit. Kita menyeru orang ramai yang ingin membuat proses pembuangan ayat al-Quran supaya merujuk kepada pihak JAIM dari segi prosedur," katanya ketika ditemui BH, hari ini.

Muhammad Mawardi berkata, masyarakat tidak boleh bertindak membakar begitu sahaja kandungan ayat suci al-Quran kerana harus mengikuti proses serta garis panduan yang sudah ditetapkan JAIM.

"Setiap tahun kita melakukan proses pelupusan ayat al-Quran pada bulan Febuari dan Disember dengan mengikut kaedah ditetapkan.

"Orang ramai juga boleh menghantar naskhah ayat suci yang tidak digunakan di tiga lokasi pengumpulan iaitu di Masjid Ar Rasyidin Alor Gajah, Masjid Al Ghafar Jasin dan Masjid Al-Azim Melaka Tengah," katanya.

Berita Harian X