Rabu, 19 Oktober 2016 | 3:28pm

3 pusat pemindahan ditutup, 2 masih aktif

KANAK-KANAK mangsa banjir, Nur Fariza Farizal, 10, (kanan) bersama adiknya Muhammad Fikri Farizal, 9, kelihatan gembira bermain di pusat penempatan mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda, Kapar.- Foto BERNAMA
KANAK-KANAK mangsa banjir, Nur Fariza Farizal, 10, (kanan) bersama adiknya Muhammad Fikri Farizal, 9, kelihatan gembira bermain di pusat penempatan mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda, Kapar.- Foto BERNAMA

KLANG: Tiga pusat pemindahan di Sabak Bernam sudah ditutup selepas semua penduduk yang berlindung di situ kembali ke rumah masing-masing.

Dua lagi pusat pemindahan iaitu di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda dan Dewan Serbaguna Datuk Ahmad Razali, masih dibuka dengan jumlah mangsa, masing-masing 236 dan 169 penduduk.

Ketua Penolong Setiausaha, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof, berkata Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan pusat pemindahan di Sepang, Sabak Bernam dan Kuala Selangor sudah ditutup.

"Status PKOB di Klang dan Kuala Langat masih dalam penilaian agensi teknikal dan keselamatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kira-kira jam 7 pagi tadi, kawasan perkampungan di Batu 5, Kapar dinaiki air lebih semeter selepas benteng yang dibaik pulih malam semalam pecah jam 5.30 pagi manakala air laut pada ketinggian kemuncak 5.5 meter.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Sabak Bernam Penguasa Bomba Mohd Saufi Zakaria, berkata pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), mendapati tiada kerosakan serius pada benteng pesisir pantai di Sabak Bernam kecuali satu lokasi kejadian rebakan yang dijangka dibaiki hari ini.

"Satu kawasan limpahan air melepasi benteng berada di kawasan jauh dari penempatan penduduk manakala di beberapa lokasi lain, limpahan air yang minimum, sekadar melintasi jalan berhampiran kawasan pantai.

"Satu mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah diadakan pada jam 9.30 pagi tadi memutuskan bahawa semua kawasan penempatan selamat untuk diduduki semula oleh penduduk.

Sehubungan itu, mesyuarat juga membuat keputusan untuk menutup semua empat Pusat Pemindahan Banjir dan membenarkan semua mangsa pemindahan untuk pulang ke kediaman masing-masing mulai pukul 12 tengah hari ini.

"Pusat Pemindahan akan diletakkan semula di bawah status aktif (tanpa mangsa). Bilik Gerakan Bencana akan terus dibuka sehingga 21 Oktober 2016 (Jumaat)," katanya.

Berita Harian X